
MEMBUAT KEPUTUSAN BERHENTI MEROKOK
Kanapa anda membuat keputusan untuk berhenti merokok?. Mengetahui semua sebab-sebab untuk berhenti merokok akan mendorong anda lebih bersemangat untuk berjaya. Terdapat banyak sebab dan faedah untuk membuang tabiat merokok.
MELINDUNGI ORANG LAIN.
Apabila anda merokok, orang yang berada di sekeliling anda turut juga menyedut asap rokok yang datang dari rokok yang anda hisap. Ini dinamakan merokok secara pasif. Ia boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung, penyakit saluran pernafasan dan penyakit lelah di kalangan bukan perokok ini sama seperti mereka yang merokok. Merokok secara pasif adalah berbahaya kepada kanak-kanak.
MENJADI TELADAN YANG BAIK.
Sekiranya anda mempunyai keluarga, anda menjadi contoh ikutan atau " role model " kepada ahli keluarga anda khususnya kepada anak-anak anda. Kanak-kanak lebih cenderong untuk merokok sekiranya salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka merokok.
ANAK-ANAK LEBIH SIHAT.
Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa yang merokok adalah lebih kerap menghidapi penyakit penyakit saluran pernafasan seperti pneumona, jangkitan telinga dan lain-lain. Mereka juga lebih kerap mengalami gangguann iritasi pada mata, hidung dan tekak, dan mudah mendapat gejala pernafasan kronik seperti batuk dan kahak.
MENINGKATKAN KECERGASAN.
Merokok menjejaskan kecergasan anda dan membuat anda cepat letih dan hilang stamina ketika bersenam, berjogging, berjalan dan pergerakkan berat yang lain.
MENINGKATKAN DERIA RASA DAN HIDU.
Apabila anda berhenti merokok keupayaan deria untuk merasa dan menghidu akan meningkat dan kembali pulih seperti sediakala sama ketika anda belum menjadi perokok.
KULIT LEBIH SIHAT.
Merokok mengakibatkan kulit tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, oleh itu sel-sel baru tidak dapat membentuk dengan sempurna. Perokok biasanya cepat beruban, kulit tidak berseri dan cepat berkedut terutamanya di sekeliling mata dan mulut.
NAFAS LEBIH SEGAR.
Nafas akan lebih segar dan tidak berbau busuk apabila anda berhenti merokok.
GIGI LEBIH PUTIH.
Merokok mengotorkan gigi anda. Ia menyebabkan gigi anda berwarna kuning berkarat dan menjejaskan senyuman anda.
RAMBUT DAN PAKAIAN TIDAK BERBAU BUSUK.
Asap rokok meninggalkan kesan bau busuk pada rambut dan pakaian anda. Anda akan dapat merasakan perbezaannya apabila anda berhenti merokok.
MEJIMATKAN WANG.
Perokok yang menghisap rokok sekotak (20 batang) dalam sehari boleh menjimatkan wang lebih kurang RM 1500.00 setahun.
MELINDUNGI ALAM SEKITAR.
Asap rokok mencemarkan udara dan alam sekitar. Rokok juga menyebabkan beberapa kebakaran yang boleh dielakkan.
KESUBURAN MENINGKAT BAGI LELAKI.
Kajian menunjukkan kesan daripada amalan merokok boleh menyebabkan kelainan pada sperma dari segi mobiliti atau keupayaan bergerak, struktur tidak normal dan juga bilangan sperma yang berkurangan.
KELAKIAN BERKURANGAN.
Merokok boleh menyebabkan impoten atau mati pucuk. Ini ialah kesan langsung ke atas keupayaan mendapatkan ereksi atau ketegangan pada alat kelamin yang terjejas akibat pembuluh darah pada alat kelamin tersebut menjadi lemah.
tips berhenti merokok
1. MELENGAH
Lengahkan tindak balas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Sekiranya rokok ada di tangan, jangan dinyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda "nanti" setiap kali anda ingin merokok.
2. MENARIK NAFAS PANJANG
Tariklah nafas panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.
3. MINUM AIR
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air berkafin seperti kopi atau teh, keranan minuman ini biasanya membuatkan anda ingin merokok selepas meminumnya.
4. MEMBUAT SESUATU
Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada rokok. Contohnya bersiar-siar makan angin, telefon kawan, membaca buku, bermain muzik, membuat silang kata, berkebun dan sebagainya.
5. MENGUNYAH SESUATU
Mengunyah sesuatu seperti gum,lobak merah,buah epal dan sebagainya. Elakkan sesuatu yang manis seperti gula-gula.
6. MANDI ATAU BASUH TANGAN
Kalau berada di rumah,mandilah seberapa kerap atau basuh tangan setiap kali terasa hendak merokok.
7. MELAKUKAN SENAMAN REGANGAN
Lakukan senaman regangan setiap kali anda merasa mengantuk kerana tidak merokok.
8. MEMOHON DOA
Mohonlah doa agar Tuhan kuatkan azam dan usaha anda untuk berhenti merokok itu berjaya. Insya Allah..

Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan anda mengalami gian atau gejala "withdrawal". Gejala fizikal yang berlaku ke atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih. Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari.
Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran pernafasan anda berfungsi seperti sediakala.
Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi perokok dahulu.
Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu.
Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.
Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak berpanjangan dan boleh diatasi denganmudah.
Sekiranya tidak boleh mengatasi gejala "withdrawal" ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan nikotin gantian.